Pada 23 Oktober 2005 yang lepas, RD Club atas rasa keinsafan telah mengadakan konvoi amal bermotor sempena bulan Ramadhan. Konvoi ini diadakan bagi Tepat jam 2 petang, peserta-peserta konvoi sudah mula berkumpul di Dataran Merdeka.
Pada 23 Oktober yang lalu, seramai 10 orang ahli RD CLUB yang datang telah mula berkumpul di Dataran Merdeka bagi menjayakan program amal yang dinamakan Program Amal Ramadhan RD CLUB. Tepat jam 2 petang, konvoi RD CLUB telah bertolak ke Kampung Chubadak Tambahan, Sentul, Kuala Lumpur bagi menziarahi makcik Fatimah yang tinggal berseorangan. Kedatangan konvoi sepuluh buah motorsikal di perkampungan itu menarik perhatian penduduk-penduduk terutama kanak-kanak.
Makcik Fatimah berusia 66 tahun, mualaf dan kehilangan suaminya, allahyarham Hassan 41 tahun dahulu. Melihatkan rumah makcik Fatimah yang daif itu, timbul rasa simpati pada diri kami. Dengan rumah beliau yang atapnya telah pecah dan bocor, bilik air yang tidak selesa serta dinding zink belakang yang telah roboh membuatkan kami bagaikan tidak percaya yang rumah tersebut terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, sebuah bandaraya bertaraf dunia. Makcik Fatimah yang terharu mengalirkan air mata melihatkan kehadiran kami. Mujurlah makcik Fataimah mempunyai jiran yang bersimpati iaitu sebuah keluarga rakyat Myanmar yang simpati dengan beliau. Keluarga Myanmar tersebut turut menjaga dan memberi tempat berteduh pada makcik Fatimah ketika siang hari. Malah anak tunggal keluarga Myanmar tersebut yang berumur 4 tahun amat manja dengan makcik Fatimah. Setelah berbual dan bertanya khabar dengan makcik Fatimah, Presiden RD CLUB Azhanyzam Zakarai menghulurkan sedikit sumbangan berbentuk beras, gula dan tepung untuk kegunaan di Hari Raya yang bakal menjelma.
Setelah itu, konvoi RD CLUB bergegas ke Danau Kota di Jalan Bakubang bagi melawat Asrama Anak Yatim Nur Iman. Rumah anak-anak yatim, mualaf dan anak orang-orang asli itu di seliakan oleh Ustazah Sharimah dan menampung seramai 45 orang kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Setelah bertanya khabar dan berbual dengan Ustazah Sharimah, kami menghulurkan juga sedikit sumbangan berbentuk beras, gula dan tepung sebelum meminta diri memandangkan waktu berbuka hampir tiba. Anak-anak yatim yang mulanya agak malu untuk bergambar akhirnya sudi bergambar setelah diajak berkali-kali oleh ahli-ahli RD CLUB.
Setelah itu, konvoi RD CLUB ke sebuah restoran berdekatan Maju Junction untuk berbuka puasa beramai-ramai. Menurut Presiden RD CLUB, Azhanyzam Zakaria, konvoi tersebut berjaya terlaksana dengan jayanya. Lebih-lebih lagi dengan sokongan daripada Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Jabatan Ketenteraman Awam & Trafik Kuala Lumpur serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan. Malah kata-kata Presiden Pekida, Dato Dr. Mohd. Fuad kepadanya baru-baru ini yang mahukan lebih ramai anak-anak muda terlibat dengan kerja amal dan kebajikan serta menjauhi gejala sosial dijadikan azam dan pegangan untuk dilaksanakan oleh RD CLUB. Walaupun kos konvoi ini diperolehi daripada hasil kutipan derma ahli-ahli RD CLUB, dan tidak banyak, namun usaha, semangat dan keikhlasan ahli-ahli RD CLUB ini patut dipuji.
Dan RD CLUB tidak sabar menunggu untuk mengadakan program amal dan kebajikan yang akan datang kerana aktiviti-aktiviti tersebut sudah sebati dan menjadi kebiasaan dalam program RD CLUB walaupun untuk mengharap orang ramai sama-sama membantu sahaja agak sukar. Kadang-kadang agak sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai sanggup berbelanja berhabisan untuk persiapan Hari Raya, tetapi kedekut untuk menghulurkan sedikit wang bagi golongan kurang bernasib baik.