Pasukan Khas Udara atau PASKAU merupakan sebuah pasukan elit yang diletakkan di bawah tanggungjawab Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang biasanya menjalankan tugas-tugas mengekang sebarang bentuk serangan dan keganasan dari pihak musuh dan anasir-anasir luar yang melibatkan senario rampasan pesawat-pesawat TUDM dan awam serta tawanan ke atas pengkalan tentera udara dan lapangan terbang awam.
Pasukan ini ditubuhkan dalam tahun 1980 selepas satu serangan oleh anasir pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya ke atas pangkalan TUDM Kuala Lumpur menyebabkan kemusnahan sebuah pesawat DHC-4 Caribou pada bulan Mei 1975. Serangan itu dilakukan oleh ejen-ejen Parti Komunis Malaya dengan menggunakan sepucuk mortar yang dipasangkan di atas sebuah lori kecil atas tujuan melambatkan bantuan pasukan sahabat yang sedang berada di medan tempur. Semuanya bermula apabila sebuah lori yang tidak dikenali melalui diluar pangkalan udara Sungai Besi, Selangor dan berhenti di situ. Beberapa orang lelaki Cina yang disyaki ejen komunis turun dari kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan mortar ke pangkalan menyebabkan sebuah pesawat DHC-4 Caribou musnah dan beberapa buah kemudahan TUDM rosak teruk serta mencederakan beberapa orang petugas dipangkalan tersebut.
Atas insiden inilah, TUDM memperkenalkan satu doktrin khusus untuk menubuhkan sebuah pasukan elit bagi mengawal keselamatan pangkalan udara TUDM yang sebelum ini diletakkan dibawah tanggungjawab Kor Polis Tentera Diraja. Maka dengan secara rasminya, pada 1 April 1980, sebuah pasukan elit yang dikenali sebagai Pasukan Pertahanan Darat dan Udara atau singkatannya HANDAU ditubuhkan. Rejimen ini bukan sahaja mendapat latihan kerahan tenaga daripada pasukan elit anti-pengganas Pasukan Gerakan Khas (yang terdiri daripada Komando 69 dan Unit Tindakan Khas PGK) PDRM, malahan turut mendapat latihan khas daripada Special Air Service British dan pasukan elit Amerika Syarikat.
Skuadron 102 HANDAU yang ditubuhkan merupakan skuadron pertama yang mengambil alih tugas-tugas keselamatan Pangkalan TUDM Kuala Lumpur dari Kor Polis Tentera Diraja, diikuti dengan Penubuhan Markas Rejimen Keselamatan TUDM (MAREJ) pada 1 April 1981 sehingga tertubuhnya 10 lagi skuadron Rejimen HANDAU TUDM pada 1 Mac 1993.
Setiap pegawai dan anggota TUDM akan dianugerahkan dengan beret biru muda apabila tamat latihan asas PASKAU dan pisau komando setelah menjalani kursus kepakaran PASKAU. Mereka akan menjalani latihan lanjutan secara berterusan bagi mendalami kepakaran masing - masing bagi melayakkan mereka menyertai sebarang operasi. Anggota PASKAU diwajibkan menjalani ujian kecekapan & kecergasan setiap 12 minggu bagi menilai tahap kemampuan anggota. Antara ujian-ujian asas komando PASKAU yang dijalankan ialah :
Ujian jalan lasak sejauh 160 kilometer
Teknik `rapelling kaedah Australia (menuruni bukit dan bangunan dengan tali secara berlari)
Teknik `spie-rig (badan diikat pada tali yang ditarik dengan helikopter)
Mendayung sejauh 160 km (peringkat paya)
Latihan asas komando hutan
Penyusupan peninjau khas
Kursus penembak tepat melalui sungai dengan bot.
Latihan khas bagi PASKAU dan berkemampuan dalam:-
Penanda-Laser - Menggunakan GLTD II (Ground Laser Target Designator II) untuk 'menanda' sasaran musuh, bagi tugas pengeboman daripada udara berpandukan panduan sasaran laser seperti Paveway II LGB (Laser-guided bomb).
Tempur jarak dekat (Close Quarters Battle; CQB, Close Quarters Combat; CQC).
Pertempuran bukan konvensional
Penembak tepat atau kepantasan menembak.
Sabotaj
Penembak hendap
Atitud Tinggi Permulaan Rendah / A/T Permulaan Tinggi (HALO/HAHO)
Turun dengan tali
Terjun ke permukaan air
Perisikan khas
Perisikan
Peninjauan
Mencari dan menyelamat tempur (CSAR, Combat Search and Rescue) - Menyelamat anggota pasukan sahabat (misalnya juruterbang pesawat yang telah menyelamatkan diri) daripada barisan belakang musuh
Melengkapkan keselamatan pangkalan TUDM.
Tugas anti keganasan
Menyelamat tebusan.
Operasi di kawasan pembinaan - OBUA
Tempur di dalam bandar - FIBUA
Letupan khas
Unit Pemusnah Bom (EOD).
PASKAU berkemampuan tinggi di dalam operasi menyelamat tebusan dalam pelbagai situasi dan arif tentang operasi anti-rampasan untuk pesawat tentera dan awam. Tugas dalam situasi tersebut diambil alih daripada Grup Gerak Khas Tentera Darat Malaysia. Anggota PASKAU yang memakai beret biru muda ini turut dihantar ke luar negara untuk mengikuti latihan khas dan kursus asas teknikal oleh Rejimen ke-22 British SAS dan pasukan elit Amerika Syarikat.
Pasukan yang ditubuhkan dikenali dengan nama asalnya HANDAU sebelum ini ditugaskan menjaga keselamatan pangkalan-pangkalan TUDM. Dalam tahun 1996, pasukan ini disusun semula dan diberikan nama baru, iaitu Pasukan Khas Udara atau lebih dikenali sebagai PASKAU, kini diperluaskan peranan pasukan tersebut kepada tugas tempur dan sokongan tempur. Peranan pasukan ini berlainan dengan pasukan khas tentera darat dari Grup Gerak Khas ataupun dengan pasukan PASKAL TLDM, khususnya dari segi peranan utama pasukan-pasukan tersebut yang berbeza-beza dan dikendalikan oleh anggota-anggota terlatih serta mempunyai peralatan khas bagi penugasan yang sukar dijalankan oleh tentera biasa.
Penubuhan PASKAU merupakan satu pendekatan untuk meningkatkan keupayaan TUDM dalam pengoperasian udara. Dan juga mempertingkatkan keupayaan TUDM dalam memenuhi keperluan dalam penugasan penyelamat tempur udara (Combat Search Air Rescue), keselamatan pangkalan/unit TUDM yang beroperasi di pangkalan hadapan dan tugas membantu pesawat-pesawat pejuang melaksanakan serangan udara terhadap sasaran musuh dengan menggunakan senjata khas. Serta berkemampuan untuk melumpuhkan aset penting pihak musuh. Pasukan Khas Udara (PASKAU) terdiri daripada anggota-anggota rejimen TUDM yang dipilih mengikuti kursus peperangan khas untuk membolehkan mereka menjalankan peranan seperti mencari dan menyelamat tempur CSAR serta penandaan sasaran menggunakan peralatan penanda (designator) menggunakan infra red ataupun laser (TLID). PASKAU boleh menggunakan teknik-teknik dan taktik khusus dalam operasi mencari dan menyelamat tempur (CSAR) menggunakan pasukan-pasukan khusus dipanggil (Combat Air Rescue Team).
Penugasan PASKAU TUDM dilaksanakan dengan berkesan bagi sebarang pengoperasian khas mereka. Ini adalah kerana ia merupakan aset penting TUDM yang mudah melaksanakan arahan, pengawalan dan koordinasi secara terus. Penugasan pasukan ini dengan menggunakan pesawat sudah pastinya dapat diaturgerak dengan pantas dan berkesan dalam jangkamasa yang singkat. Pengoperasian PASKAU diendalikan dalam keadaan negara yang masih aman, darurat mahupun semasa peperangan. Tugas-tugas bagi pegawai dan anggota PASKAU terdiri daripada:
Pasukan PASKAU menggunakan sistem penanda laser untuk melakukan bantuan serangan dari udara.
Tugas TUDM dalam peranannya mempertahankan kedaulatan negara akan melibatkan pesawat-pesawat pejuangnya bagi mengekalkan penguasaan ruang udara daripada sebarang pencerobohan dari anasir-anasir luar atau menidakkan keupayaan pasukan udara pihak musuh dalam sebarang operasi di udara. Selain berupaya melindungi aset-aset pertahanan udara, yang mungkin mendatangkan penglibatan pesawat pejuang dalam pengoperasian di ruang udara negara mahupun menyusup jauh ke dalam kawasan musuh. Unit ini akan ditugaskan dengan melakukan penyusupan ke kawasan operasi di barisan belakang musuh bagi memusnahkan aset dan kemudahan pertahanan udara pihak musuh. Juga berkemampuan menjalankan penugasan menyusup masuk dengan berkesan dan terlatih dalam pelbagai teknik penyusupan. Serta berkemampuan untuk melakukan tugas-tugas sabotaj secara persendirian ke atas mana-mana sasaran pertahanan udara musuh seperti radar dan tapak pelancaran peluru berpandu ke udara (Surface to Air Missile sites, SAMsites).
Pasukan ini berkemampuan menghadapi sebarang ancaman daripada pasukan biasa mahupun pasukan elit musuh dalam keadaan di mana TUDM mengoperasikan pangkalan operasi hadapan (Forward Operation Base, FOB) mahupun pangkalan yang beroperasi di kawasan yang terdedah pada serangan musuh (Hostile environment). Penugasan pasukan elit ini berjaya melaksanakan pengoperasiannya dengan cekap dan pantas sungguhpun berhadapan dengan ancaman yang akan berlaku.
Tugas yang dipertanggungjawabkan oleh PASKAU ini ialah mencari dan menyelamat unit ketenteraan sama ada di darat mahupun di perairan. Dalam sebarang tugas yang melibatkan operasi-operasi di udara, pesawat udara TUDM sudah pastinya terdedah kepada bahaya kemungkinan terlibat dalam kemalangan, terhempas mahupun ditembak oleh musuh sama ada di darat, perairan atau udara negara sendiri atau negara musuh. Penyusupan bagi operasi menyelamat adakalanya bukannya satu tugas yang paling mudah sekiranya berlaku di kawasan yang mempunyai lurah yang curam dan merbahaya, ini boleh dibuktikan ketika insiden melibatkan sebuah helikopter Nuri yang terhempas di Gunung Gerah serta yang terkini di hutan Genting Sempah yang mana unitnya terpaksa diturunkan dengan menggunakan teknik abseiling daripada helikopter ke pokok yang tinggi dan dari pokok ke kawasan lokasi kejadian. Begitu jugas dengan insiden yang melibatkan kawasan perairan, yang mana pasukan elit tentera udara yang terjun dengan penerjunan bebas atau payung terjun dilengkapi dengan peralatan menyelam dan peralatan menyelamat di laut. Tugas menyelamat dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan oleh anggota penyelamat yang terlatih dalam paramedik serta berpengetahuan luas berkaitan dengan ciri-ciri pesawat bagi tugas-tugas menyelamat.
Anggota Skuadron Sayap Tempur PASKAU sedang mengadakan demonstrasi memasang bahan letupan ke atas radar pihak 'musuh'. Senjata karbin M16 Model 653 kini diperkasakan lagi dengan perolehan karbin Bushmaster Carbon 15 dan Colt M4A1 bagi mempertingkatkan mobiliti pasukan ini.
Sekiranya keadaan di mana mangsa nahas pesawat udara yang terperangkap dan peralatan atau aset dan dokumen penting memerlukan kepakaran yang ada untuk melaksanakan misi ini. PASKAU berkemampuan melaksanakan tugas-tugas menyelam di perairan bagi menyelamat mangsa yang terdiri daripada juruterbang yang mungkin terbelit dengan peralatan payung terjun atau talipinggang keledar pesawat ketika berada ditengah lautan misalnya insiden nahas pesawat Caribou yang terhempas perairan Labuan.
Sekiranya berlaku sebarang insiden yang melibatkan rampasan ke atas pesawat-pesawat dan pangkalan-pangkalan udara baik dari TUDM mahupun awam oleh pihak musuh atau anasir-anasir luar, PASKAU adalah salah satunya pasukan yang pertama diaturgerakkan ke hadapan untuk menghadapi insiden ini. Kita sudah sedia maklum, PASKAU begitu profesional dalam senario rampasan pesawat oleh pengganas dan memahami selok-belok pesawat terutamanya teknik penyusupan yang cekap tanpa memberi kesan yang negatif ke atas pesawat dan penumpang.
Kemampuan yang ada pada pasukan ini terbahagi kepada lima. Kemampuan PASKAU meliputi:
Mempunyai kemampuan untuk mengaturgerak pasukan ini dengan lebih pantas dan tepat di mana sahaja kawasan yang ditugaskan sama ada di darat, laut dan udara.
Berkeupayaan mengaturgerak untuk menjalankan tugas khas pasukan tersebut sama ada secara persendirian mahupun dengan bantuan atau bergabung dengan pasukan elit lain.
Mempunyai ketahanan dalam menjalankan tugas operasi khas tanpa sebarang bantuan sehingga operasi yang diamanahkan tersebut selesai.
Berkemampuan terhadap pendedahan kepada teknologi terkini yang mempunyai hubungkait dengan tugas-tugas khas TUDM.
Berkemampuan untuk menjalani latihan khas yang mencabar ketahanan fizikal dan mentaliti dengan mengeluarkan pakar-pakar bagi menjalankan operasi khas mereka. Dilatih sebagai pasukan yang lebih berkeyakinan untuk melaksanakan tugas dalam satu kumpulan yang kecil.