KULIM: Seorang anggota komando maut selepas payung terjunnya dipercayai gagal berfungsi ketika menjalani latihan terjunan di kawasan Kampung Padang Meha, Sungai Karangan Kulim, semalam.
Mangsa Lans Koperal Amin Che Ros, 27, dari Pasukan Gerak Khas Kem Mersing Johor meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim menaiki ambulans tentera.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.50 pagi semalam ketika 67 anggota tentera dari pelbagai unit menjalani latihan terjunan di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, ketika sedang melakukan terjunan bersama anggota lain, mangsa dipercayai menghadapi masalah dengan payung terjunnya menyebabkan mangsa terus terhempas ke sebuah kawasan ladang tembikai di Kampung Padang Meha.
Payung terjun Amin dipercayai tidak terbuka selepas beliau terjun dari paras kira-kira 1,000 meter lalu jatuh ke bumi menyebabkan kecederaan parah dibadannya, katanya.
Beliau berkata, komando malang itu adalah penerjun terakhir dan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Kulim sebaik diselamatkan.
Menurut sumber yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan selepas mangsa terhempas dia terus dibawa ke Hospital Kulim sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.
Ghuzlan berkata, Allahyarham bertugas dari Kem Komando di Mersing, Johor adalah antara 67 orang anggota komando dari kem itu yang mengadakan latihan terjunan dari jam 11 pagi hingga 12 tengah semalam.
Beliau berkata, mangsa yang berkhidmat bersama angkatan tentera lebih tujuh tahun berasal dari Kampung Permatang Berangan, Tasek Gelugor meninggalkan seorang balu Rosnita Othman, 26, serta dua anak masing-masing perempuan berusia dua tahun dan lelaki berusia lima tahun.
Sementara itu, katanya polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes itu di siasat sebagai Kematian Mengejut (SDR).
Dalam pada itu, usaha Harian Metro untuk menemubual isteri dan keluarga mangsa gagal kerana keluarga mangsa enggan memberikan kerjasama selain dihalang oleh beberapa anggota tentera berpakaian seragam yang berkawal diluar bahagian forensik hospital berkenaan.