REMBAU - Gejala lumba haram dan penyalahgunaan dadah yang meningkat kini memerlukan usaha sama semua pihak dalam menyedarkan masyarakat akan bahananya seekiranya terlibat.
Sejajar dengan itu, Kelab Motosikal RD Malaysia mengadakan konvoi ke Pekan Rembau baru-baru ini bagi mengedarkan risalah kepada orang ramai bertujuan memupuk kesedaran dan menambah pengetahuan.
Setiausaha Kerja Kelab RD Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Muhammad Balshe Fauzan Abu Samah berkata, program seumpama ini adalah sebagai satu aktiviti sihat dalam kalangan ahli Kelab Motorsikal RD Malaysia selain daripada berkonvoi bersama.
Menurutnya, program yang mendapat sokongan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Trafik Bukit Aman mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Ini antara lain merupakan pendekatan yang diambil kelab bagi bersama-sama membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan statistik lumba haram serta penyalahgunaan dadah, katanya.
Muhammad berkata, program pada kali ini turut melibatkan kerjasama daripada Kelab RD Malaysia yang lain antaranya Kuala Lumpur, Pahang Selangor dan Johor yang sanggup datang dari jauh dalam menjayakan program pada kali ini.
Malah program ini turut diberi pujian oleh Penghulu Mukim Linggi dan Pasir Panjang, Ibrahim Abd Talib yang kebetulan berada dil okasi sewaktu Kelab RD mengedarkan risalah, katanya.
Katanya, apa yang diharapkan dari usaha murni ini supaya masyarakat bersama-sama bersatu padu dalam mengurangkan gejala tidak sihat ini dan seterusnya hasrat membasmi terus gejala ini dapat terlaksana.